Sun10212018

Last updateSun, 15 Jul 2018 11am

Back You are here: Home News & Events Kuasai Pengetahuan Dalam Perniagaan Dan Pengurusan Pupuk Pembangunan Negara

News & Events

Kuasai Pengetahuan Dalam Perniagaan Dan Pengurusan Pupuk Pembangunan Negara

ibmc2018newss

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - “Kita perlu memiliki pengetahuan dalam perniagaan dan pengurusan adalah penting dalam memupuk pembangunan sebuah negara,” kata Pengerusi Lembaga Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Perniagaan Islam (IBMC) anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi yang turut dihadiri Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Menurutnya, sudah menjadi kewajipan kepada setiap Muslim khususnya untuk menuntut ilmu dan kewajipan itu perlu diteruskan sepanjang kehidupan seseorang.

Katanya, di UUM, menguasai pengetahuan dalam perniagaan dan pengurusan adalah matlamat penubuhan UUM yang menekankan pembangunan dan menghasilkan pakar dalam bidang berkaitan pengurusan.

“Sinergi ilmu dan proses pemindahan pengetahuan akan membolehkan pemahaman yang lebih mendalam dalam dunia perniagaan dan pengurusan.

“Adalah menjadi harapan saya supaya persidangan ini dapat menawarkan peluang kepada institusi pengajian tinggi dan industri untuk berkongsi idea dan meneruskan jalinan strategik bagi mencapai pembangunan mapan negara,” katanya.

Tambah beliau, sebagai contoh, institusi perbankan Islam juga boleh menjemput ahli akademik untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka sebagai Penasihat Syariah atau Ahli Lembaga Pengarah mereka dengan adanya sesi perkongsian ilmu dan perbincangan yang memberi manfaat kepada kedua pihak.

Lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara dihimpunkan pada IBMC 2018 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Hotel Intercontinental.

Persidangan kali kedua yang mendapat kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu menjadi platform kepada pembentang terdiri ahli akademik dan industri dengan lebih 50 kertas kerja persidangan berkaitan perbankan dan kewangan Islam, muamalat, perniagaan Islam, ekonomi Islam, pengurusan halal, zakat, wakaf dan isu kontemporari berkaitan.

Sementara itu, Dekan IBS, Prof Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, relevan persidangan tersebut adalah peserta dan pembentang dapat memahami tentang isu kontemporari dalam perbankan dan kewangan Islam khususnya.

Menurutnya, IBMC menjadi medan untuk bertukar fikiran dan saling bekerjasama dalam membina negara bangsa, selain berkongsi ilmu dan kajian masing-masing.

Pada persidangan hari pertama itu dimulakan dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dengan
Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Persatuan Takaful Malaysia.

Kemudian, diikuti ucaptama oleh Pengerusi Bersama Majlis Industri Kewangan Islam, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia, Dato’ Noripah Kamso dengan tajuk ‘Impact Investing: Merging Profit and Purpose for Global Sustainability’.