Mon12102018

Last updateSun, 15 Jul 2018 11am

Back You are here: Home News & Events Awas Jenayah Kewangan - Berhati-Hati Berdepan Isu Fintech

News & Events

Awas Jenayah Kewangan - Berhati-Hati Berdepan Isu Fintech

 

SEMINAR JENAYAH2

UUM ONLINE: “Forex online terpalit dengan pelbagai isu seperti riba, judi, platform yang tak diiktiraf, adakah berlaku transaksi sebenar. Urusniaga ini berbeza daripada jual beli emas secara real, apabila kita memiliki dan menjualnya apabila harga emas naik.”

“Penggunaan bitcoin dan skim cepat kaya yang menggunakan bitcoin merupakan dua isu berbeza. Berkait dengan hukum penggunaan bitcoin dan kemudiannya penggunaan skim cepat kaya yang menggunakan bitcoin.

“Justeru, masyarakat kena berhati-hati berdepan isu fintech (financial technology) yang menggunakan teknologi untuk melabur, membuat bayaran dan mendapatkan pinjaman secara online di hujung jari.”

Demikian pesanan Dekan IBS, Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim pada Seminar Jenayah Kewangan: Isu Dan Kesannya anjuran Islamic Business School (IBS), Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang dan AKPK, di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyeru masyarakat supaya mengelakkan riba dalam urusan seperti insurans, pelaburan emas di pasaran seperti emas fizikal, emas maya dan akaun emas.

Jelasnya, terdapat dua jenis riba iaitu riba jual beli apabila berlaku jual beli barangan yang sama jenis dengan lebihan yang berbeza seperti menukarkan 1kg kurma Ajwa dengan 2kg kurma Yaman dan hukum ini tidak mengambil kira kualiti barangan.

“Kedua, riba al-nasa’ iaitu pertambahan disebabkan tempoh masa bayaran misalnya hutang yang sepatutnya di bayar hari ini tetapi pembayar meminta tangguh. Peminjam membenarkan penangguhan tapi meminta bayaran lebih dan ia adalah riba yang diharamkan kerana setiap pinjaman kita dapat manfaat darinya, itulah riba”.

“Jenis sama tapi berat tidak sama juga dikira riba misalnya menukarkan 10 gram emas keping dengan 9 gram emas ketul, tidak boleh ditukar kerana timbangan tidak sama,” ucapnya.

Katanya, syarat jual beli wang/emas mestilah penyerahan kedua-dua barang sebelum berpisah (secara lani), bebas dari mensyaratkan penangguhan dan persamaan kadar antara dua barang sekiranya sama jenis.

“Masalah timbul apabila membeli emas secara online menyebabkan penyerahan secara tangguh dan membeli emas menggunakan kad kredit (konvensional) yang mengandungi riba,” tambahnya

Eksekutif BNM Cawangan Pulau Pinang, Zulkifli Abu Talib menyeru orang ramai tidak mudah percaya dengan SMS yang menyatakan anda menang hadiah wang tunai ribuan tinggit.

“Begitu juga emel yang dihantar oleh mana-mana institusi kewangan untuk mengemas kini maklumat maklumat perbankan melaluli link yang diberikan jika menerima emel yang meragukan abaikan emel tersebut jika anda menjawab anda mungkin menjadi mangsa penipuan,” kongsinya.

BNM merupakan bank pusat yang mengawal selia pembayaran tertentu dan semua institusi kewangan di Malaysia termasuk bank dan institusi takaful.

Beliau turut menyampaikan pendidikan matawang yang memberi pendedahan mengenai sejarah wang yang mengandungi nombor siri, prefik, tema selain tips menjaga wang kertas dan teknik untuk mengenalpasti duit palsu.

“Wang kertas menggunakan material polimer yang lebih tahan lasak dan kos untuk menghasilkan sekeping wang kertas antara 20 – 25 sen sebab itu jangan lipat dan stapler duit kerana akan merosakkan wang,” ujarnya.

Tambahnya, proses untuk menghasilkan wang kertas agak rumit yang dilengkapi ciri keselamatan agar sukar ditiru oleh sindiket wang palsu.

“UUM adalah hotspot duit palsu kerana berhampiran sempadan dan di mana ada sempadan dan di situlah terdedah dengan duit palsu terutamanya RM10 dan RM20 yang banyak di pasar malam.

“Kalau dapat duit palsu, lapor segera pada polis tetapi duit palsu tidak boleh ditukar dengan BNM namun duit rosak boleh ditukar dengan syarat saiz lebih daripada separuh dan contengan tiada unsur politik,” katanya.