All News

UUM DAN PSU, THAILAND BINCANG KERJASAMA INDUSTRI HALAL

 
Gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi/UUM Today
 
 
psu1HATYAI: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perbincangan bersama Institut Halal, Prince of Songkla University (PSU), baru-baru ini.
 
Kunjungan UUM yang diwakili Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib itu bertujuan membincangkan kerjasama dalam kegiatan industri halal.
 
Menurutnya, sesi perbincangan kerjasama itu bakal membuka ruang bagi kedua-dua pihak melihat industri halal dari sudut pandang yang berbeza seperti cara pelaksanaan, peraturan dan garis panduan mahupun amalan di kedua-dua buah negara.
 
Kunjungan delegasi IHM, UUM ini disambut oleh Pengarah Institut Halal, Prince of Songkla University, Prof. Madya Dr Asman Taeli dan barisan pensyarah di sana.
 
Perbincangan ini juga disertai dengan lawatan ke makmal halal bagi melihat aktiviti dan ujian yang dilaksanakan di makmal tersebut.
 
Dr. Asman menyatakan berhasrat untuk mengadakan kunjungan balas ke Institut Pengurusan Halal kelak.
 
Seterusnya, IHM turut membuat kunjungan hormat ke Koperasi Simpanan Assiddeek Ltd., Hatyai iaitu sebuah institut kewangan Islam terbesar di Thailand.
 
Kunjungan hormat yang disambut Pengerusi Koperasi Simpanan Assideek, Tuan Rusydi itu diadakan bagi melebarkan jaringan antarabangsa antara UUM dan institut kewangan tersebut.
 
Malah, beliau turut berbesar hati dengan cadangan kerjasama oleh IHM, UUM yang bakal diadakan dalam bidang kewangan Islam demi meningkatkan kemahiran sedia ada serta melahirkan generasi bijak pandai yang mampu meneruskan kejituan kewangan Islam di mata dunia. – Nurul Syahidah Muhamad Puzi