All News

IBS UUM TERIMA SUMBANGAN RM15 JUTA DARI FWD TAKAFUL BERHAD

17 MAC 2023 / 24 SYAABAN 1444H
===========================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Mohd Fuad Hamid

 

 FWD1

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan sumbangan RM15 juta oleh FWD Takaful Berhad kepada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Intercontinental Hotel Kuala Lumpur malam tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Berhad, Vishwanath Pasupathy bersama Ketua Pegawai Strategi dan Saluran Digital FWD Takaful Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad kepada UUM.

Melalui sumbangan ini Tadbir Urus Shariah dan Kewangan Islam (ISGaIF) sebagai Dana Takaful Sosial (Social Takaful Fund-STF) akan digunakannya untuk meningkatkan tahap kewangan inklusif ke arah kesejahteraan sosial masyarakat.

Dato’ Seri Mohamed Khaled ketika berucap di majlis itu berbangga dengan usaha IBS UUM yang bukan sahaja berjaya mendapatkan dana dari pihak korporat malah dapat menganjurkan program tempatan dan antarabangsa yang melibatan komuniti untuk program celik kewangan, penyelidikan dan inovasi.

“Melalui kerjasama strategik antarabangsa dengan Akademi Perbankan dan Kewangan, Uzbekistan contohnya pada hari ini seramai 21 peserta juga turut menerima menerima sijil pencapaian program latihan eksekutif perbankan dan kewangan islam (Executive Advance Certificate in Islamic Banking and Finance) (EACIBF),”ujarnya lagi.

Beliau berkata, peranan KPT kini bukan sahaja untuk menyebarkan ilmu dan pemikiran yang matang, memimpin kematangan, dan mencari kebenaran sahaja malah perlu memperhalusi peranan sebenar IPTA selain daripada juara dalam penarafan atau pengkomersilan pendidikan.

Oleh itu inisiatif yang ditunjukkan UUM ini sesungguhnya selaras dengan aspirasi bahawa universiti mesti melibatkan diri dengan industri dan membantu mereka dari aspek penyelidikan terutamanya baik di peringkat nasional ataupun global.

Moga inisiatif kukuh dan bermakna yang dilaksanakan ini akan memberi impak yang tinggi bukan sahaja untuk UUM malah IPT lain juga.

Sementara itu dalam ucapan aluan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, kerjasama industri dan agensi antarabangsa amat penting sebagai satu bentuk perkongsian strategik dan untuk ini UUM akan sentiasa berusaha dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi melalui kerjasama dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, jaringan global dan khidmat masyarakat.

END.