All News

PELAJAR IBS TEROKA INOVASI WAKAF DALAM PENGURUSAN MASJID

 

13 FEBRUARI 2023 / 22 REJAB 1444H
===============================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

 MAQASID

Oleh: Nursyaza Mohamad Bashri
Gambar oleh: Pusat Pengajian Perniagaan Islam

PELAJAR IBS TEROKA INOVASI WAKAF DALAM PENGURUSAN MASJID

UUM ONLINE: Kuala Muda - Bagi melibatkan pelajar dalam kalangan komuniti, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengadakan Program Lawatan Explorasi Inovasi Wakaf Dalam Pengurusan Masjid di Masjid al-Busyra, Merbok, baru-baru ini.

Seramai 32 pelajar kursus BIMS 2083 Pengurusan Baitulmal, Wakaf dan Zakat, Program Pentadbiran Muamalat IBS bersama dua pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Azizah Othman dan Dr. Nursiha Alias telah menyertai lawatan tersebut.

Dr. Azizah berkata, Masjid al-Busyra dipilih sebagai lokasi lawatan kerana masjid tersebut telah menerima Anugerah Masjid Terbaik Kategori Luar Bandar Negeri Kedah pada 2022.

“Ini merupakan peluang terbaik bagi pelajar meneroka sendiri ilmu berkaitan wakaf serta melihat pembangunan dan pengurusan masjid tersebut yang telah berjaya dipilih sebagai masjid terbaik.

“Bagi menjana kewangan untuk mengurus dan membangunkan masjid dengan lebih efisien, pelbagai bidang perniagaan dijalankan di kawasan masjid. Antaranya adalah perkhidmatan mencuci kereta, mesin snek layan diri, pasar raya, kiosk makanan, percetakan baju, fotostat dan pelbagai lagi perniagaan yang masih dalam proses seperti studio gambar dan rumah tumpangan,” katanya.

Pihak pengurusan masjid juga telah memperkenalkan konsep Rehat dan Rawat (R&R) seperti yang dilaksanakan oleh pengurusan lebuh raya di negara kita bagi menarik minat masyarakat datang ke masjid.

Di samping itu, pelajar juga berpeluang bertemu dengan Imam Masjid al-Busyra, Firdaus Mat Akhir yang merupakan pencetus pembangunan masjid tersebut.

Beliau merupakan salah seorang individu utama yang memperkenalkan masjid ini kepada khalayak ramai di mana beliau banyak memuat naik video di media sosial bagi menarik lebih ramai umat Islam untuk datang ke masjid dan memberi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Selain itu, Imam Firdaus turut berkongsi informasi kepada pelajar tentang bagaimana masjid ini diurus serta dibangunkan melalui inovasi wakaf.

Pelajar-pelajar IBS berkesempatan untuk membersihkan kawasan masjid bersama komuniti di situ dalam usaha memupuk hubungan silaturrahim antara mahasiswa UUM dengan komuniti masjid, di samping meningkatkan kefahaman pelajar dan juga pensyarah tentang pelaksanaan wakaf dalam membangunkan sesebuah masjid.

Diharapkan agar lebih banyak program seperti ini dijalankan supaya hasrat universiti untuk membangunkan masyarakat sekitar dapat dicapai.

END