All News

Webinar beri Pendedahan Ilmu Kewangan dan Perbankan Islam

alumni

UUM ONLINE: Seramai 110 peserta terdiri pelajar, pensyarah dan peserta luar UUM telah menyertai webinar ‘Kerangka Perundangan Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia bersama Alumni UUM’ anjuran Kelas Seminar Kewangan dan Perbankan Islam dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Pusat Alumni UUM, baru-baru ini.

Alumni UUM, Shahriman Azmi yang merupakan graduan Sarjana Muda Perbankan (2003) kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan, Bahagian Pematuhan dan Undang-Undang Perbankan Islam di CIMB Bank Berhad.

Pada sesi webinar itu, beliau berkongsi perjalanan kerjayanya dan memberikan panduan kepada pelajar-pelajar berkaitan laluan kerjaya yang bakal dilalui mereka.

Selain itu, beliau juga mengadakan empat kuiz yang mana pemenang kuiz telah memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM50 bagi setiap kuiz tersebut.

Sementara itu, pensyarah kelas Seminar Kewangan dan Perbankan Islam, Prof. Madya Dr. Zairani Zainol berkata, webinar itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar untuk menguruskan dan mengendalikan sesuatu program, seterusnya memberikan pendedahan berkaitan praktis dan maklumat terkini dalam industri khususnya dalam bidang kewangan dan perbankan Islam.

Pengarah projek, Muhamad Syafi Imtiaz Suhaimi berkata, webinar ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan pelajar-pelajar tentang perundangan kewangan dan perbankan Islam yang terkini berdasarkan perspektif industri.

Katanya, banyak ilmu baru yang diterima melalui perkongsian alumni UUM tersebut, malah peserta webinar juga amat berpuas hati dengan perkongsian ilmu itu dan berharap program bersama alumni seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sekian.